[list_indonesia] Re: [ppiindia] Ideologi Barat Dalam Pemikiran Shari'ati

  • From: "Ambon" <sea@xxxxxxxxxx>
  • To: <ppiindia@xxxxxxxxxxxxxxx>
  • Date: Sun, 20 Mar 2005 16:39:23 +0100

** Mailing-List Indonesia Nasional Milis PPI-India www.ppi-india.da.ru **

Barat itu luas dan tidak statis tak cocok dibandingkan dengan dogma.

----- Original Message ----- 
From: "syabab muslim" <syabab_hizb_islamiy@xxxxxxxxx>
To: <PAN@xxxxxxxxxxxxxxx>; <islam_liberal@xxxxxxxxxxxxxxx>; 
<Kebangkitan_Bangsa@xxxxxxxxxxxxxxx>; <muhammadiyah2002@xxxxxxxxxxxxxxx>; 
<keluarga-islami@xxxxxxxxxxxxxxx>; <majelismuda@xxxxxxxxxxxxxxx>; 
<partai-keadilan-sejahtera@xxxxxxxxxxxxxxx>; 
<wanita-muslimah@xxxxxxxxxxxxxxx>; <ppiindia@xxxxxxxxxxxxxxx>; 
<Amien-Siswono@xxxxxxxxxxxxxxx>; <keluarga-sakinah@xxxxxxxxxxxxxxx>; 
<PKS-Watch@xxxxxxxxxxxxxxx>; <ISLAM_IRC@xxxxxxxxxxxxxxx>; "Chae" 
<chairunisa_mahadewi@xxxxxxxxx>; <bang_irfan_gd@xxxxxxxxx>; 
<assunnah@xxxxxxxxxxxxxxx>; <mediasalafy@xxxxxxxxxxxxxxx>; 
<manhaj-salaf@xxxxxxxxxxxxxxx>; <salafyoon@xxxxxxxxxxxxxxx>; 
<artikel_salafy@xxxxxxxxxxxxxxx>
Sent: Sunday, March 20, 2005 10:12 AM
Subject: [ppiindia] Ideologi Barat Dalam Pemikiran Shari'ati




Ideologi Barat Dalam Pemikiran Shari'ati
Oleh: Aqil Fithri
Publikasi 15/03/2005

hayatulislam.net - Pendahuluan

Buku yang di bahaskan ini -Marxism and Other Western Fallacies an Islamic 
Critique- merupakan rakaman ceramah seorang rausyanfikr (intelektual yang 
cemerlang) prolifik terkemuka Iran, Dr. Ali Shari'ati (1933-1977) yang 
mengkritik falsafah dan pemikiran Barat menurut perspektif Islam. Ia adalah 
cetakan pertama yang diterbitkan pada tahun 1980 oleh Mizan Press dan 
diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh R. Campbell daripada karya 
aslinya berbahasa Persia yang bertema Insan, Islam va Maktabha-yi Magrib' 
Zamin.


Sepintas lalu buku ini tampak serdahana dan usang apatah lagi ianya hanya 
terdiri daripada dua bab utama sahaja, (1) Marxism and Other Western 
Fallacies, (2) Mysticism, Equality and Freedom disamping hanya berjumlah 122 
halaman penuh. Selain daripada itu, jarak waktu selama 23 tahun dari tarikh 
cetakan pertamanya secara tidak langsung telah membentuk satu persepsi awal 
yang negatif dan 'melemahkan semangat' dalam minda setiap pembacanya. 
Lantas, apakah elemen-elemen yang mendorong kepada pemilihan buku ini 
sebagai bahan telaah? Di sebalik keserdahanaan dan keusangan yang terzahir 
daripada buku ini, nyata sekali amat sulit untuk kita menemukan karya agung 
sebegini yang mampu membahas secara tersusun setiap idealogi menurut 
perspektif Islam malahan disulami pula dengan gaya bahasa yang begitu 
memikat dan mengugah struktur keilmuan Barat -suatu kaedah yang jarang 
didapati dalam karya-karya yang lain. Maka tidak hairanlah, pemikiran dan 
perjuangan Shari'ati telah mengundang sanjungan
 tokoh-tokoh besar seperti yang tergambar dalam petikan ucapan-ucapan 
berikut:

Ayatullah Husayn Baheshti: "Perjuangan gigih Shari'ati telah membawa kepada 
kejayaan Revolusi Islam Iran 1979."

Jean Paul Sartre: "Saya tidak mempunyai agama. Tetapi sekiranya saya diminta 
untuk membuat pilihan, saya akan memilih Shari'ati."

Hadimulyo: "... karya Shari'ati banyak memberikan sumbangan yang sangat 
berharga bagi usaha pencarian hakikat manusia dan kemanusiaan pada umumnya."

John L. Esposito: "... Shari'ati merupakan seorang tokoh penting dalam 
sejarah muslim."

Satu hal lagi yang tidak harus di nafikan dalam pemilihan buku ini ialah 
keperibadian pengarangnya. Sepanjang sejarah kehidupannya, Shari'ati telah 
mendambakan sepenuhnya kepada perjuangan untuk menegakkan panji-panji 
ketauhidan dan kemanusiaan samada melalui pergerakan, pena mahupun lisan. 
Dengan kalimat berkembar iman dan jihad - satu pesanan Rasulullah Saw kepada 
Abu Dzarr al-Ghiffari -Shari'ati menerobos cakrawala pemikiran dengan berani 
dan bertenaga sehingga beliau mencapai syahadahnya dalam usia yang sebegitu 
muda ketika mana dunia masih lagi memerlukan peranannya- terutamanya dalam 
aspek reaksi pemikiran Islam terhadap falsafah tamadun Barat.


Biografi Intelektual Shari'ati

Shari'ati dilahirkan pada tahun 1933 di Mazinan, sebuah desa pedalaman 
mashhad di Timur laut Khurasan, dalam keluarga yang kental dan taat tradisi 
keagamaannya. Beliau telah menamatkan pendidikan rendah dan menengah di 
Mashhad. Kemudiannya meneruskan pengajian di Maktab Perguruan Tinggi. Di 
sana beliau bercampur gaul dengan belia dari golongan berpendapatan rendah 
dan turut sama merasai kemiskinan dan kesukaran untuk hidup. Selama tempoh 
ini beliau telah menerjemahkan Surat Kashf al-Ghita yang sarat berisi 
tentang keluhan dan protes dunia Islam terhadap Barat.

Shari'ati juga menterjemahkan sebuah biografi Arab tentang Abu Dzarr karya 
Abu Hamid Jaudah al-Sakhar, seorang sosialis radikal Mesir ke dalam bahasa 
Persia. Pada waktu yang sama, ia terlibat dalam urusan politik dengan 
menggabungkan diri dalam kelompok oposisi pro Moseddeq. Ketika berumur 23 
tahun, beliau diterima masuk di Fakulti Sastera, Universiti Mashhad. Hampir 
bersamaan dengan itu untuk pertama kalinya Shari'ati merasai suasana penjara 
selama lapan bulan kesan daripada oposisinya melawan rejim di bawah pimpinan 
Gerakan Perlawanan Nasional cawangan Mashhad.

Setelah lulus dari dari Universiti Mashhad, beliau mendapat peluang untuk 
melanjutkan pendidikan tingginya ke Universiti Sorbonne, Perancis melalui 
biasiswa Kerajaan Iran. Ketika di Sorbonne, beliau mula menjalin hubungan 
peribadi dengan para pemikir terkemuka seperti Louis Massignon, Franz Fanon, 
Jean Paul Sartre, Che Guivera, dan Giap. Pada saat yang sama, beliau 
melibatkan diri secara aktif dalam gerakan nasional anti-Shah di 
Eropah -yakni gerakan pembebasan Iran (Nehzat-e-Azadi-e-Iran).

Setelah memperolehi gelaran kedoktoran pada tahun 1964, beliau kembali ke 
Iran, kemudian apabila tiba di Bazarqan -sebuah perbatasan antara Iran dan 
Turki- beliau telah ditahan selama enam bulan atas tuduhan oposisi 
politiknya selama berada di Eropah. Setelah dibebaskan beliau dinafikan hak 
untuk mengajar di Universiti Teheran, justeru Shari'ati memilih untuk 
kembali ke Khurasan dan mengajar di Universiti Mashhad. Tidak lama kemudian 
beliau dipecat karena beberapa alasan politik atas campurtangan Shah Iran.

Pemecatan Shari'ati dari Universiti Mashhad langsung tidak membantutkan 
aktiviti-aktivitinya malah merangsangnya lagi untuk berjuang menegakkan 
panji-panji keadilan. Bahkan peristiwa ini memberi kesempatan untuknya bagi 
memasuki panggung baru sebagai pemikir dan aktivis yang revolusioner. Beliau 
kemudian berpindah ke Teheran dan menjadi anggota Dewan Pengurus Husayniyah 
Irsyad. Maka, disinilah bermulanya fasa produktif dalam perjuangannya. 
Dengan menjadikan Husayniyyah Irsyad sebagai lembaga ilmu pengetahuan, 
penyelidikan dan dakwah Islam yang berwibawa, Shari'ati berusaha 
mempersiapkan generasi muda Iran ke arah satu pergolakan revolusioner dengan 
melontarkan idea-idea revolusi yang mantap dan bertenaga termasuk juga 
serangan hebatnya terhadap pemikiran Barat seperti yang terkandung dalam 
buku yang dibincangkan ini. Dari implikasi gerakan inilah Shari'ati mendekam 
dalam penjara selama lapan belas bulan kerana kegiatannya yang dikatakan 
mengugat kedudukan Shah Iran. Bersandarkan
 alasan Shari'ati ialah seorang Marxisme Islam, Shah Iran tidak mempedulikan 
bantahan rakyat terhadap pemenjaraan rausyanfikr kesayangan rakyat Iran ini. 
Namun akhirnya beliau dibebaskan daripada penjara hasil inisiatif berterusan 
dan protes keras masyarakat antarabangsa yang digerakkan oleh 
intelektual-intelektual dari Universiti Sorbonne, Perancis -menara 
gadingnya.

Lantas, selepas dibebaskan beliau mengambil formula hijrah Rasulullah 
Saw -jika anda tidak mampu mengubah, maka berhijrahlah- dengan berhijrah ke 
England dalam rangka untuk meneruskan perjalanannya ke Amerika Syarikat. 
Namun, pada 19 Jun 1977, tidak lama selepas ketibaan beliau di England 
beliau telah ditemui terbujur Syahid dalam pangsapurinya di Southampton dan 
didakwa kerana serangan jantung. Tatapi, ada beberapa petunjuk kuat yang 
menyakinkan kita bahawa beliau sebenarnya telah diracun oleh SAVAK (Sazman-i 
Ittila' a-i Va Amniyat-i Keshvar) yang tidak senang dengan pengaruhnya 
terhadap kebangkitan rakyat Iran. Sepertimana yang tertera dalam wasiatnya, 
beliau akhirnya dimakamkan di Damsyik berhampiran dengan makam Saiyyidah 
Zaynab, saudara perempuan Saiyyidina Husayn bin Abi Talib. Maka, hari itu 
mega mendung meliputi dunia kerana telah kehilangan seorang putera yang 
mendedikasikan seluruh hidupnya tanpa kenal penat lelah untuk Islam dan 
ummah. Gugurnya Shari'ati telah mengesahkan
 kebenaran kata-katanya bahawa Syuhada adalah jantung sejarah kemanusiaan 
dan beliau sendiri adalah contoh jantung sejarah kemanusiaan. Selepas 
kesyahidannya harya-karya beliau telah diterjemah dan diterbitkan ke dalam 
pelbagai bahasa sebagai salah satu khazanah ilmu yang tidak terhingga 
termasuklah buku Marxism and Other Western Fallacies an Islamic Critique 
ini.


Serangan Shari'ati Terhadap Pemikiran Marxisme

Dalam buku ini banyak temanya ditujukan kepada kritikan terhadap bahaya 
Marxisme terhadap pemikiran dan kehidupan manusia sejagat. Di sini kita 
dapat perhatikan Shari'ati dalam kerangka untuk menyanggah, tanpa segan-silu 
memetik ucapan dan catatan dari Socrates hinggalah kepada Sartre dan 
diungkapkannya kembali dalam nafas yang menyerang setiap kepincangan 
aliran-aliran pemikiran yang mengancam kepercayaan terhadap agama. Selain 
Marxisme, Kapitalisme dan Sosialisme turut dianggapnya sebagai mengugat 
kemakmuran pemikiran dunia. Dan, dengan penuh keyakinan Shari'ati telah 
mengemukakan hujah -hujah agama bagi mencantas pandangan mengelirukan dari 
Barat (baca: Eropah) dan Timur (baca: Soviet Union). Tidak berlebihan 
sekiranya jika dikatakan bahawa dalam semua keserdahanaan dan keusangan buku 
ini, Shari'ati telah berjaya menjawab setiap pertanyaan-pertanyaan mendasar 
yang kerap diajukan mengenai sikap muslim terhadap aliran pemikiran moden.

Gagasan-gagasan Shari'ati ini telah mendapat perhatian Hamid Algar, seorang 
pakar sejarah Persia dan kini berkhidmat di University of Carlifonia, 
Barkeley sepertimana diutarakannya dalam kata pengatar editor buku ini yang 
menceritakan bakti Shari'ati dalam dunia pemikiran dan pergerakan rakyat. 
Beliau menyinggung "Sejumlah besar kaum intelek Islam, masyarakat dan rakyat 
Iran tertarik kembali pada Islam sebagai titik pusat kehidupan dan nasib 
bangsa kerana kefasihan, keluasan dan keaslian pemikiran Shari'ati. Ia 
mempunyai gaya yang unik di antara pemikir-pemikir Islam moden. Ia 
benar-benar menguasai warisan intelektual dan hakikat Barat serta 
mengabungkan kedua-dua aliran tersebut. Ia mampu melawannya dengan suatu 
pandangan spiritual dan falsafah Islam yang kuat, segar dan bersepadu juga 
dengan suatu pandangan yang menyakinkan dan mengilhami jutaan rakyat Iran. 
Selanjutnya Shari'ati telah berjaya mengisi topik diskusi agama di Iran 
dengan suatu nada baru dalam pemikiran, gaya baru
 dalam huraian dan serangkaian istilah baru. Ia benar-benar merupakan suatu 
hasil yang revolusioner." tegas Hamid Algar.

Justeru buku ini sebenarnya sudah cukup melemaskan Hagel, Karl Marx, Sartre 
dan Nietzsche bagi merangka jawapan balas Shari'ati. Sehinggakan ada yang 
berpendapat sekiranya Marx masih hidup di waktu Shari'ati mengecam 
habis-habisan pemikiran Marxisme ini nescaya ia tidak akan teragak-agak 
untuk mengubah kembali intipati bukunya yang terkenal Das Kapital dan 
Communist Manifesto. Atau juga mungkin Marx akan irihati melihat kejayaan 
Revolusi Islam Iran 1979 yang telah menempelak pendapatnya bahawa agama 
adalah candu kepada masyarakat -sedangkan di sini terbukti agamalah yang 
menjadi teras kejayaan revlususi itu.

Satu hal yang menarik, ketika buku ini diterbitkan pada 1980, Iran telahpun 
setahun memetik buah dari usaha Shari'ati dan merealisasikan dugaan 
Shari'ati iaitu kemunculan detik-detik tumbangnya kerajaan Shah Iran akibat 
dari dasar yang zalim. Di samping itu, sejarah dunia juga menjadi saksi 
bahawa kritikan tajam Shari'ati terhadap Marx turut memberi impak terhadap 
pemikiran Marxisme sehinggalah berlakunya keruntuhan Soviet Union (negara 
yang menganuti fahaman Marxisme) pada tahun 1991. Kritikan beliau ini jelas 
terlihat dengan bidasannya "Kekeliruan yang paling besar dan menghairankan 
yang berlaku pada fahaman kemanusiaan moden sejak Diderot dan Voltaire 
sehinggalah Feuerbach dan Marx adalah kerana mereka menyamakan dunia mitos 
Yunani kuno yang berada dalam batas-batas material dengan dunia suci 
spiritual agama-agama purba yang besar. Mereka membanding dan bahkan 
mengolongkannya menjadi satu iaitu hubungan manusia terhadap Zues dengan 
hubungannya terhadap Ahuramazda, Rama, Tao, Isa
 dan Allah. Padahal dua rangkaian ini adalah sama sekali bertentangan."

Shari'ati di akui oleh kawan dan lawan bahawa beliau secara agresif telah 
mempertahankan kehormatan Islam dari tohmahan Marxisme. Secara sosiologis, 
Shari'ati berkata, "Marx gagal membezakan antara bentuk-bentuk kepemilikan, 
hubungan kelas serta struktur dominasi antara penguasa dan yang dikuasainya. 
Kegagalan ini terlihat jelas pada era industrialisme Lenin dan Stalin. 
Selari dengan pendapat Fanon (gurunya di Sorbonne), Shari'ati menyatakan 
bahawa negara-negara Dunia Ketiga tak akan memperoleh kepercayaan diri yang 
diperlukan untuk memajukan masyarakatnya kecuali kembali ke akar-akar budaya 
mereka sendiri."

Bagi Shari'ati, model Marxisme bukan saja tidak selari dengan masyarakat 
Islam, bahkan mengelirukan sekali! Dengan menolak kriteria nilai-nilai 
kemanusiaan yang mutlak serta menghasilkan manusia sebagai makhluk ekonomi 
semata-mata. Meskipun demikian kecaman keras Shari'ati ini bukan bermaksud 
beliau bersetuju dengan idea penghapusan karya-karya yang berbau komunis.

Kerana buku ini telah memperlihatkan penguasaan Shari'ati terhadap falsafah 
kemanusiaan-Marxis, maka Shari'ati sering dilabel sebagai seorang yang 
memiliki kecenderungan Marxis yang cukup kuat, mungkin kerana huraiannya 
terhadap sistem kelas. Namun keadaan ini tidak sewajarnya timbul kerana 
Murtadha Muthahhari dalam bukunya The Human Being In The Quran turut 
menyatakan kesedaran sistem kelas sebagai satu kesedaran manusia. Walhal, 
Muthahhari (yang menjadi syahid pada 15 Mei 1979) adalah seorang ulama' yang 
terkemuka dari sudut kesarjanaan dan falsafah serta pakar dalam pemikiran 
Betrand Russell sepertimana Shari'ati sehinggakan ada pihak yang 
mensinonimkan antara keduanya dengan gelaran ulama' yang keintelektualan 
(Muthahhari) dan intelektual yang keulamakan (Shari'ati) di samping mereka 
pernah bergandingan tenaga dalam mengerakkan Husainiyyah Irsyad bersama-sama 
dengan beberapa tokoh lagi seperti Ayatullah Husayn Bahesti, Hujjatul Islam 
Hashemi Rafsanjani dan Seyyed Hossein Nasr.

Jika dihalusi pemikiran Shari'ati dalam buku ini, nyata sekali beliau memang 
mengkritik habis-habisan pemikiran Marx. Namun dalam sesetengah keadaan 
Shari'ati cuba untuk mencari persamaan antara Islam dan Marxisme seperti 
dalam aspek idealogi yang mencakupi seluruh dimensi kehidupan dan pemikiran 
manusia. Malahan dalam nada yang berhati-hati Shari'ati telah memuji 
Marxisme dengan menyatakan bahawa pemikiran ini telah berjuang untuk 
mendasari setiap aspek kehidupan manusia -material, spiritual, falsafah, 
individu, ekonomi dan sosial- dalam konteks materialistik yang tersendiri. 
Di samping itu, Shari'ati turut mengariskan dua kesejajaran Islam dan 
Marxisme. Pertama; semua kompenan yang terhimpun dalam Islam dan Marxisme 
adalah bersandaran di antara satu sama lain. Dan, sebarang usaha menambah 
atau mengurangkan sebahagian daripada kompenan di dalamnya akan 
mengakibatkan keruntuhan strukturnya secara keseluruhan. Kedua; Islam dan 
Marxisme masing-masing merupakan idealogi yang mencakupi
 persoalan kehidupan dan pemikiran manusia.

Tetapi ketika masa yang sama, secara tegas Shari'ati menyatakan bahawa 
antara Islam dan Marxisme juga terdapat jurang kontradiksi yang ketara 
terutamanya dalam pandangan ketauhidan di mana Marxisme berdasarkan kepada 
falsafah Marxisme yang berteraskan kepada pandangan manusia yang menciptakan 
agama. Sebaliknya Islam percaya kepada konsep spiritual ketuhanan di mana 
Islam melukiskan manusia sebagai tanah dan memuliakan manusia dari debu 
tanah ke arah Tuhan atau dalam kata mudahnya Tuhanlah yang menciptakan 
manusia. Jawapan Shari'ati ini mengingatkan kita kepada gagasan Mulla Shadra 
dalam konsep sufisme (atau: gnosis) asfaar arba'ah (empat perjalanan) yang 
mengaitkan hubungan manusia dengan Allah SWT. Mulla Shadra memperincikan 
empat perjalanan seperti berikut:

1. Perjalanan dari alam ciptaan menuju Allah SWT (al-safar min al-khalq 
al-haqq).

2. Perjalanan dalam Allah SWT (al-safar fi al-haqq).

3. Perjalanan kembali dari dalam Allah SWT menuju ciptaannya bersama-sama 
dengan Allah SWT (al-safar min al-khalq ila al-khalq bi al-haqq).

4. Akhir sekali adalah perjalanan dalam ciptaan bersama dengan Allah SWT 
(al-safar fi al-khalq bi al-haqq).

Berbalik kepada kontradiksi antara Islam dan Marxisme. Shari'ati sebenarnya 
secara tidak langsung telah membongkar plagiat Marx daripada dialektika 
Hagel. Dengan penuh yakin Shari'ati menelah "Marxisme dengan pemikiran 
ekonominya dalam semua perkara termasuk kehidupan dan sejarah manusia telah 
mengubah Sosialisme menjadi pengaruh ekonomi yang berdasarkan kekayaan 
material melalui industri serta mengambil dialektika Hagel (yang berpendapat 
bahawa Tuhan diwujudkan dalam sejarah manusia) sebagai alat untuk 
merealisasikan kehidupan borjuis bagi kaum marhaen." Jelas sekali pandangan 
Shari'ati ini merupakan realiti sebenar pemikiran Marxisme.


Bahaya Kapitalisme Dan Liberalisme

Kapitalisme turut tidak terkecuali menjadi objek serangan Shari'ati. Tetapi 
secara umumnya kritikan Shari'ati terhadap Kapitalisme tidaklah setajam 
sepertimana Marxisme. Namun, Shari'ati masih menganggap sistem Kapitalisme 
akhirnya menjadi seperti Marxisme. Yang membezakan hanya namanya sahaja!

Di sini Shari'ati telah membongkar sikap Kapitalisme yang bertopengkan 
Liberalisme Barat dengan mengunakan label sebagai pewaris induk dari 
falsafah dan kebudayaan Yunani-kuno sehinggalah kepada kesempurnaan yang 
relatif seperti di Eropah sekarang. Shari'ati menjelaskan bahawa antara 
Yunani-kuno dan Eropah sekarang terdapat perbezaan yang jelas terutamanya 
dari sudut kepercayaan kepada unsur-unsur spiritual. Ketika era Yunani-kuno 
mereka telah mempercayai wujudnya satu kuasa ghaib seperti Appolo, Zues dan 
Prometheus yang berfungsi untuk mengatur kehidupan dunia dan konsep ini 
secara panjang lebar telah dijelaskan oleh Aristotles dalam banyak bukunya. 
Jadi bertitik tolak dari kepercayaan ini, mengapa Eropah hari ini tidak 
mengambil unsur kepercayaan kepada perkara yang ghaib dalam pemikiran 
mereka? Tidakkah ini bukti peminggiran mereka terhadap konsep spiritual yang 
merupakan unsur-unsur asas dalam tamadun Yunani-kuno? jadi soalan ini sudah 
cukup untuk mengesahkan bahawa Eropah yang
 ada hari ini bukannya warisan dari Yunani-kuno. Sama sekali berbeza di 
antara keduanya!

Selain daripada itu, Shari'ati menyifatkan bahawa falsafah dalam kehidupan 
masyarakat Kapitalisme Barat berkait rapat dengan faktor ekonomi. Di sini 
beliau telah mebenarkan pandangan Francis Bacon, "ilmu telah meninggalkan 
pencarian kebenaran dan beralih pula kepada pencarian kekuatan." -bagi 
mengambarkan hakikat Kapitalisme. Selanjutnya, Shari'ati tidak membiarkan 
kita buntu untuk memikirkan apakah hujah yang mengatakan bahawa faktor 
ekonomi merupakan falsafah dalam kehidupan masyarakat Kapitalisme Barat? 
Shari'ati menjelaskan, "Demokrasi dan Liberalisme Barat -apa sahaja istilah 
yang murni dalam teorinya- pada praktikalnya tidak lebih dari persaingan 
ekonomi yang rakus kepada keuntungan serta berfungsi untuk mengubah manusia 
menjadi haiwan ekonomi."

Dengan nada yang penuh sinis Shari'ati mengambil kesempatan untuk mencemuh 
Kapitalisme Barat -atau dalam istilah yang lain dikenali juga dengan nama 
Industrialisme, Kristianisme, Kolonislisme dan Liberalisme borjuis- yang 
tidak malu mengunakan slogan kelahiran semula bagi mencerminkan peradaban 
Eropah atau juga berpura-pura berselindung disebalik perjuangan kemanusiaan. 
Padahal pemikiran sebegini sebenarnya hanya merosakkan kemuliaan perjuangan 
kemanusiaan. Dengan penuh berani Shari'ati bertindak mengistiyarkan bahawa 
idealogi rasmi Kapitalisme ialah Liberalisme dan Demokrasi yang berasaskan 
kepada fahaman materialisme lapuk pada abad ke-17. Bagi Shari'ati sistem 
Kapitalisme adalah semata-mata bersandarkan kepada kekayaan individu, gaji 
pekerja, nilai matawang dan prinsip persaingan. Tidak lebih daripada itu!

Shari'ati juga ketika membahaskan mengenai perbezaan aliran-aliran pemikiran 
dan matlamatnya, beliau telah memaknai istilah Liberalisme Barat sebagai 
suatu kebebasan individu dan usaha persaingan dalam bidang penghasilan 
material yang membawa kepada pencapaian kekuasaan dan kemajuan pengembangan 
ilmu. Ini bagi Shari'ati berbeza dengan istilah agama yang diyakininya 
sebagai medium antara dunia dengan pencipta dunia. Pada perbincangan inilah 
istilah amanah dan kebaikan dapat dipraktikkan kerana amanah dan kebaikan 
hanya dapat dilaksanakan oleh manusia. Sebab itu, sisi pandangan Islam amat 
berbeza dengan Barat lebih-lebih lagi dalam penilaian terhadap aspek 
kemanusiaan. Islam sepanjang sejarah kemanusiaan telah memikul amanah untuk 
membela prinsip-prinsip yang bernama keadilan, kemuliaan, tuntutan Ilahi, 
kesedaran dan nilai-nilai moral demi kepentingan manusia. Dan, amanah ini 
ditunaikan menurut rasional akal dan wahyu Ilahi. Dengan nada menyindir 
Barat, Shari'ati mendakwa bahawa Islam
 tidak perlu menunggu kemunculan mesin-mesin untuk memakmurkan nilai-nilai 
kemanusiaan sepertimana dalam sistem Kapitalisme Barat.


Kemanusiaan Akhirnya Dikorbankan

Keupayaan Shari'ati untuk membahas pemikiran Barat ini sudah tentunya 
dipengaruhi oleh ruang lingkup pembelajarannya. Selama di Sorbonne, 
mahasiswa seperti Shari'ati umumnya turut serta dalam gerakan mahasiswa 
radikal, apalagi ketika itu dunia sedang berkocak dengan gerakan rakyat di 
Algeria dan Cuba dalam melawan imprealisme. Sentimen Shari'ati ini terpapar 
dengan usahanya menterjemahkan tulisan-tulisan seperti Che Guevara -seorang 
tokoh pembebasan rakyat di Cuba bersama-sama dengan Fidel dan Raul Castro.

Namun disini ada perihal yang menarik dalam hubungan Shari'ati dan Fanon. 
Ketika Shari'ati telah kembali ke Iran, beliau mengutuskan surat kepada 
Fanon bagi menyanggah teorinya yang berkaitan hubungan kebangkitan rakyat 
dengan agama. Bayangkanlah, ketika saat tidak ada mereka yang percaya bahawa 
kekuatan agama mampu bertindak sebagai pembebas kemanusiaan, Shari'ati 
sebaliknya berpendirian teguh dengan pandangannya bahawa hanya Islamlah yang 
mampu mengerakkan pembebasan manusia dari perhambaan menuju pembebasan 
abadi.

Dalam satu perjelasan panjang tetapi menarik sekali untuk dikongsi, 
Shari'ati menegaskan bahawa kemanusiaan adalah spesis yang sedang menuju 
kepada keruntuhan. Lebih lanjut lagi, Shari'ati mengambarkan ianya seperti 
perubahan bentuk (metamorforsis) seekor kupu-kupu yang baru mejengah dunia 
luar dari kepompongnya. Dengan nada haIran Shari'ati berkata, 
"...kemanusiaan biasanya dikorbankan untuk cita-cita pembebasannya sendiri. 
Dalam pusaran sejarah, rindu kepada pembebasan telah menempa rantai belenggu 
manusia dan menawarkan harapan untuk bebas namun sebaliknya ia menghumbankan 
manusia ke dalam lembah nestapa!."

Bagi mengukuhkan lagi pendapatnya Shari'ati telah mengemukakan hujahnya 
bersandarkan kepada persektif lima kepercayaan utama yang dianuti oleh 
masyarakat dunia -Lao Tzu, Confucius, Hindu dan Budhha, Kristian dan Islam.

Pertama, Lao Tzu; Shari'ati menyatakan di China ajaran Lao Tzu pada 
peringkat awal merupakan seruan kepada pembebasan dari penjara kepalsuan, 
konkongan inteletual dan kebobrokan peradaban yang menyeret manusia sejati 
ke alam perhambaan. Kemudiannya apa yang berlaku ialah ajaran Lao Tzu telah 
terjebak dalam pemujaan dewa-dewa yang tidak terhitung jumlahnya. Dewa-dewa 
ini telah memeras manusia, melemahkan kekuatan intelektual dan menjatuhkan 
hukuman ketakutan tanpa kesudahan.

Kedua, Confucius (atau: Kong Hu Cu); Setelah penat bertempur untuk melawan 
ketahyulan dengan maksud membebaskan rakyat dari perhambaan terhadap 
pengaruh imaginasi. Namun akhirnya, ajaran Confucius telah membawa manusia 
kepada cengkaman khayalan yang tidak logik, pergorbanan-pergorbanan tanpa 
matlamat, sumpah keramat, doa-doa dan pembunuhan diri lalu terjerumus ke 
dalam lembah kepasifan dan konservatif yang fanatik. Shari'ati memetik 
pandangan seorang ahli sosiologi "kita lihat bahawa sepanjang sejarah 2500 
tahun masyarakat dan kebudayaan Cina ia sama sekali tidak mengalami 
kemerosotan, kemajuan atapun perubahan mendadak -implikasi langsung dari 
aturan konservatif dan tradisional para penganut Confucius."

Ketiga, Hindu dan Buddha; Shari'ati menyifatkan Hindu adalah agama orang 
India yang mengandungi pengetahuan yang jelas berkenaan dengan manusia dan 
dilengkapi pula dengan pengertian mendalam tentang keesaan Tuhan, alam dan 
manusia -suatu pengertian yang meletakkan ruh ke dalam jasad dunia dan 
bertindak sebagai satu kekuatan yang memuliakan ruh manusia- telah 
dijelmakan menjadi ketahyulan yang mengerikan di mana manusia dikerumuni 
oleh dewa-dewa yang demikian banyaknya. Dan bermula dari garis inilah 
wujudnya budaya perhambaan oleh kekuasaan rasmi agama. Selepas itu, Gautamma 
Buddha datang untuk menyelamatkan masyarakat Hindu dari penghambaan terhadap 
dewa-dewa di langit. Tetapi apa yang berlaku sebaliknya, dimana para 
pengikut Buddha menjadi penyembah Buddha pula. Lalu di mana yang dikatakan 
pembebasan? Soal Shari'ati.

Keempat, Kristian; Shari'ati menjelaskan bahawa diutusnya Nabi Isa AS atau 
Al-Masih adalah untuk menyelamatkan kemanusiaan dari ikatan material dan 
ritual ajaran Yahudi, membebas agama dari penghambaan oleh para pedagang dan 
bani Israel yang bersifat perkauman serta menciptakan kedamaian, cinta dan 
kebahagiaan jiwa. Jadi ia ingin membebaskan orang-orang yang berada dibawah 
pesona ketahyulan dari pengaruh pendeta Yahudi (rabbi) serta mengutuk 
perhambaan di bawah imprealisme zalim Romawi. Tetapi kita lihat, bagaimana 
Kristian sendiri mewarisi takhta kekaisaran Romawi malahan gereja Romawi 
terus menerus menghidupkan tatanan kekaisaran. Kita telah mengetahui 
bagaimana "agama kedamaian" ini lebih bebas menumpahkan darah dibanding 
kelompok lain yang dikenal dalam sejarah. Dan, bagaimana Tuhan dijadikan 
seperti manusia padahal manusia seharusnya menjadi seperti Tuhan -Yakni 
secara spiritual dan moral.

Akhirnya menurut Shari'ati sampainya kepada kita Islam -mata rantai terakhir 
dalam perkembangan agama menurut sejarah- yang datang dengan membawa panji 
tauhid dan keamanan seperti yang tercantum dalam perkataan Rab'i Bin Amir, 
seorang pejuang muslim iaitu "dari kerendahan bumi kepada ketinggian syurga, 
dari perhambaan manusia kepada pengabdian Tuhan alam semesta, dari 
penindasan agama kepada keadilan Islam."

Maka dari sorotan perjalanan agama-agama di dunia sebelum kemunculan Islam, 
gerakan pembebasan manusia sentiasa mengalami malapetaka. Shari'ati dalam 
hal ini dengan penuh pilu mengeluh seraya berkata "kasihan manusia, ia 
selalu mencari pembebasan tetapi akhirnya bencana yang diperolehinya." Namun 
bagi Shari'ati, memendam rasa sahaja tidak akan membawa apa-apa makna 
melainkan kita mengerakkan Islam sebagai alternatif kepada umat manusia yang 
tercari-cari hakikat kebebasannya. Shari'ati menduga, Islam di masa hadapan 
akan berfungsi penting untuk merealisasikan hasrat kemanusiaan dan 
meletakkan manusia di tempat yang semulianya. Lantaran itu, Shari'ati 
mengemukakan dua kekuatan Islam yang sentiasa abadi:

Pertama; dengan kekuatan tauhid, Islam menghulurkan penafsiran spiritual 
yang mendalam mengenai konsep alam semesta yang sempurna dan ideal sekaligus 
logik dan tuntas.

Kedua; melalui falsafah penciptaan Nabi Adam AS, Islam mengungkapkan 
berkenaan konsep kemanusiaan sebagai suatu konsep yang independen serta 
mulia serasi dengan realiti dunia sekaligus bersifat ketauhidan.

Bagi mengukuhkan pendapatnya, Shari'ati memetik pandangan Louis Gardet yang 
mengatakan bahawa Islam adalah agama dan bangsa sekaligus. Dan yang lebih 
menyakinkan kita lagi ialah di akhir topik ini ketika mana Shari'ati 
membahas mengenai kemanusiaan di antara Marxisme dan agama, Shari'ati telah 
menoktahkan gagasannya dengan rakaman al-Quran dari Qs. al-Baqarah [2]: 143 
"Kepunyaan Tuhanlah Timur dan Barat. Dan begitulah kami jadikan kamu umat 
pertengahan agar kamu menjadi saksi atas mereka dan Rasul menjadi saksi atas 
kamu." Nah! Apalagi yang merungsingkan kita selepas mendengar penjelasan 
komprehensif dari Shari'ati ini. Jadi, kesimpulan daripada rangkuman 
perbahasan Shari'ati mengenai falsafah pembebasan manusia bolehlah 
disimpulkan daripada untaian azimat keramat yang mana ia boleh menyelamatkan 
nilai-nilai kemanusiaan bahkan manusia itu sendiri iaitu "tiada Tuhan 
melainkan Allah" -yakni dimensi tauhid sebagai panduan mutlak untuk mencapai 
sesuatu matlamat.


Pengaruh Mistisisme, Sosialisme Dan Eksistensialisme

Adalah tidak sempurna ulasan buku ini sekiranya kita tidak mencatatkan 
pandangan Shari'ati mengenai persoalan Mistisisme, Sosialisme dan 
Eksistensialisme yang diakuinya sebagai kombinasi ajaran dalam hidupnya bagi 
membentuk diri yang bersifat multi-dimensi, seimbang dan harmoni. Mengapa 
Shari'ati mengaku ini adalah pegangannya -kombinasi antara Mistisisme, 
Sosialisme dan Eksistensialisme?

Bagi Shari'ati Mistisisme berasas dari akar agama dan merupakan manifestasi 
daripada fitrah manusia. Ia juga sebagai bahtera bagi meneroka perkara ghaib 
yang gagal dicapai oleh akal. Di samping itu, Mistisisme merupakan satu 
sinar dalam diri manusia yang mampu mengubah manusia menjadi sebenar-benar 
erti manusia. Tambah Shari'ati lagi, tokoh-tokoh terkenal seperti 
Dostoyevsky, Sartre dan Albert Camus masih belum dikira hebat kerana mereka 
tidak mempercayai peranan Mistisisme dalam memaknai kehidupan. Contoh 
ketidakyakinan mereka kepada pengaruh Mistisisme tergambar dari pendirian 
Sartre yang mendakwa ketiadaan Tuhan telah menyebabkan segala yang wujud 
menjadi tidak ketentuan tanpa arah. Walaupun kenyataan ini lebih lunak 
berbanding dengan pemikir-pemikir abad ke-19 yang menyatakan Tuhan tidak ada 
dan agama adalah khayalan semata-mata, namun ia masih belum mampu mengubah 
bahawa Sartre telah menolak peranan Mistisisme dalam kehidupan.

Dalam perbahasan awal topik ini ada dinyatakan bahawa Mistisisme adalah 
merupakan akar agama dan penolakan masyarakat Eropah terhadap Mistisisme 
bermula pada abad ke-19 dimana ketika itu mereka terbuai dengan idealogi 
Sosialisme. Pada pandangan Shari'ati kejayaan Sosialisme untuk mengurang 
atau menyingkirkan pengaruh Mistisisme disebabkan oleh kebaikan ajarannya 
yang mengajak manusia bagi memenuhi tanggungjawab sosial kepada masyarakat. 
Keadaan ini secara tidak langsung telah melahirkan individu-individu yang 
peka terhadap perubahan dan keperluan di sekelilingnya. Menurut Shari'ati, 
fenomena ini selari dengan penegasan Islam dalam surah al-Maa'idah, ayat ke 
32 yang menganjurkan kita memelihara dan menghargai kehidupan bermasyarakat.

Namun sistem Sosialisme yang hasrat awalnya untuk membebaskan rakyat dari 
utophia dan fatamorgana menuju kepada kemodenan, telah mula beralih kepada 
pendekatan Sosialisme yang bercorak pemujaan kepada pemimpin, parti dan 
negara. Dalam satu warkah Proudhon kepada Marx yang diungkapkan kembali oleh 
Shari'ati, ".tetapi apabila kita melakukan sesuatu haruslah bersifat 
serdahana dan hanya melakukannya dengan kesedaran rakyat. Kita tidak boleh 
bermain seperti nabi-nabi serta memaksa rakyat melalui serangkaian perintah 
dan larangan. Kita juga tidak boleh mendirikan agama dan pemujaan baru dalam 
dunia ini. Saya khuatir nanti ajaran kamu ini akan mengambil peranan agama 
negara dan pemujaan negara akan pula berperanan seperti pemujaan terhadap 
Tuhan". Sejarah telah membuktikan nasihat Proudhon ini benar dan ia tidak 
diendahkan oleh Marx. Bahananya, selepas Perang Dunia Kedua berlaku situasi 
drastik yang memeranjatkan. Pertama; kekuatan agama telah melonjak tinggi, 
kedua; Marxisme mula
 mengalami zaman gerhana kerana tidak berupaya untuk menyelesaikan 
pemasalahan kemanusiaan. Kesan daripada dua situasi ini telah melahirkan 
Eksistensialisme.

Sebenarnya Eksistensialisme telah wujud lebih awal terutamanya dalam ajaran 
Mistisisme. Namun begitu Eksistensialisme pada waktu ini lebih menekankan 
kepada perihal yang bukan berkaitan dengan kemanusiaan. Dan sekarang 
Eksistensialisme telah mencanangkan gagasan barunya seperti yang terpapar 
dalan seruan ini, "marilah kita rampas kembali perkara yang telah direbut 
dari kita sebelum ini oleh agama dan Sosialisme. Marilah kita berpaut kepada 
kebebasan kemanusiaan kita. Kita mempunyai kehendak dan bebas untuk memilih. 
Tetapi Sosialisme telah merampas semuanya dan menyerahkan kepada negara. Ia 
telah membuat keputusan paksa untuk kita. Justeru, ia telah merampas hak 
kebebasan kita. Juga agama yang turut menghalang cita-cita kita. Maka, 
marilah kita kembali kepada manusia sendiri dan mengatakan bahawa kita 
wujud." Selayang pandang kita melihat Eksistensialisme mengawali peranannya 
kepada seruan kebebasan dan kemanusiaan sebelum ia menghumbangkan kita dalam 
simpang siur yang tidak pasti
 kerana Eksistensialisme tidak memiliki kekuatan untuk memutuskan apa yang 
dinamakan kebaikan dan keburukan? Tidak sepertimana yang terpimpin dalam 
ajaran agama, lebih-lebih lagi agama Islam! Inilah titik-titik kelemahan 
dalam Eksistensialisme.

Justeru, bagaimana Shari'ati menyatakan bahawa beliau adalah kombinasi 
ketiga-tiga aliran ini dikala kecacatan yang wujud dalam aliran-aliran ini. 
Shari'ati telah mematahkan prasangka ini dengan mengulang kembali satu 
keluhan Saiyyidina Ali Bin Abi Talib dalam Nahjul Balaghah yang 
ditakrifkannya sebagai mewakili ketiga-tiga aliran pemikiran yang dibahaskan 
ini -Mistisisme, Sosialisme dan Eksistensialisme. Ketika mengakhiri 
perbahasannya, Shari'ati menegaskan, "jelaslah ketiga-tiga aliran ini 
mengambarkan keperluan-keperluan yang dituntut dalam zaman kita ini. Saya 
percaya bahawa apabila kita hanya besandarkan kepada satu sahaja daripada 
ketiga-tiga aliran ini, kita akan jatuh terpelanting dalam gaung 
kesengsaraan. Keyakinan yang disedari serta seimbang dalam ajaran yang telah 
saya kemukakan menunjukkan ia bukan sekadar penemuan Islam atau suatu 
penghormatan kepada kepercayaan ruhani. Tetapi apabila kita menyerap 
sepenuhnya ketiga-tiga aliran yang memancar ini dari satu sumber dengan
 maksud untuk memenuhi keperluan manusia, maka kita akan bersedia untuk 
menunaikan tanggungjawab sosial kita."


Kontroversi Perbahasan Shari'ati

Walaupun Shari'ati berjaya menghuraikan kritikan Islam terhadap aliran 
pemikiran Marxisme dan Barat secara baik dan mendasar, beliau masih tidak 
dapat lari daripada menerima kritikan mereka yang melihat terdapatnya 
beberapa perbahasan kontroversi yang mencetuskan kritikan pedas kelompok 
agamawan. Di Iran, fenomena ini tidak janggal kerana sejak muncul golongan 
intelektual bermula dari era Ahmad Khasrawi telah berlaku satu persaingan 
pandangan antara ulama' dan ntelektual. Dan, Shari'ati adalah tokoh dari 
kelas intelektual bersama-sama dengan Mehdi Bazarqan, Jalal-al-e-Ahmad, Bani 
Sadr dan beberapa nama yang lain. Namun selepas menyedari perlunya perpaduan 
antara dua kelompok berpengaruh ini bagi mencapai satu revolusi, maka kita 
lihat semasa kemuncak perjuangan rakyat Iran pada tahun 1978-1979 terhasil 
satu dikotomi antara ulama' dan intelektual. Dengan kata mudah, kepentingan 
rakyat didahulukan dalam sebarang perkara. Natijahnya, terealisasikan 
Revolusi Islam Iran 1979!

Berbalik kepada fokus kita untuk menyemak beberapa contoh kontroversi yang 
terdapat dalam buku ini. Antaranya ialah penyamarataan Shari'ati terhadap 
Allah dengan Tuhan-tuhan agama yang lain ketika mana beliau mengungkapkan 
persoalan mengenai kekeliruan kemanusiaan moden di antara fasa Diderot dan 
Voltaire kepada Feurbach dan Marx. Mereka (Diderot, Voltaire, Fuerbach dan 
Marx) telah menyamakan dunia mitos Yunani-kuno yang tetap berada dalam 
batasan material dengan dunia suci spiritual agama-agama yang besar. Susulan 
daripada hujah dangkal mereka ini, Shari'ati bertindak balas dengan 
menyatakan bahawa hubungan manusia terhadap Zues dalam konteks Yunani-kuno 
adalah berbeza dengan hubungan manusia terhadap Ahuramazda, Rama, Tao, Isa 
dan Allah SWT. Kenyataan sensasi inilah yang telah membangkitkan perdebatan 
hangat antara kelompok agamawan yang tidak bersetuju dengan corak hujah 
Shari'ati. Bagi agamawan di Iran ketika itu, Tuhannya Allah SWT adalah 
berbeza dengan Tuhannya agama-agama
 lain. Sekiranya kita menyamakan Allah SWT dengan tuhan-tuhan yang lain, 
bererti kita telah meletakkan status Allah SWT sama tahap dengan Tuhan-tuhan 
yang lain, sedangkan perkara ini jelas bercanggah dalam ajaran Islam.

Namun jika kita teliti secara mendalam kenyataan Shari'ati ini dalam konteks 
akademik, beliau bukanlah bermaksud untuk menafikan atau menyamaratakan 
Allah SWT dengan Tuhan-tuhan yang lain. Sebaliknya Shari'ati berbicara 
demikian kerana tuntutan keadaan yang memerlukan beliau menghuraikan dengan 
kaedah tersebut. Adakah kerana kenyataan sebegini telah melucutkan jasa 
bakti beliau terhadap Islam dan ummah ? Adakah pula kerana kenyataan ini 
telah meletakkan beliau sebagai musuh agama? Bagi kita yang berfikiran 
positif, ia sama sekali tidak! Kita kena kembali apakah nawaitu Shari'ati 
ketika membahas persoalan ini? Walhasilnya, kita perhatikan banyak kesan 
positif berbanding dengan kesan negatif bertentangan dengan apa yang 
diwar-warkan oleh mereka yang berniat jahat untuk mencemarkan reputasi 
Shari'ati.

Begitu juga dalam buku ini, Shari'ati telah merujuk bahawa golongan pemilik 
kekayaan sebagai komponen utama suatu sistem ketidakadilan. Bagi mereka yang 
tidak memahami sepenuhnya intipati ajaran Islam sudah tentu akan menyanggah 
hak kebebasan individu untuk mengaut kekayaan. Dalam hal ini, Shari'ati 
sambil memetik rakaman al-Quran telah melontarkan pertanyaan kepada golongan 
ini "adakah kamu mengira bahawa nilai dunia ini sia-sia." Dan al-Quran juga 
dalam Qs. Sâd [38]: 27 telah menyediakan jawapan kepada soalan ini "Dan Kami 
tidak menciptakan langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya 
tanpa hikmah." Justeru, tidakkah petikan ayat-ayat di atas mengecam mereka 
yang berkiblatkan material? Bagi Shari'ati, al-Quran telah memberikan contoh 
rasional tentang tauhid melalui alam, hukum kehidupan yang tetap dan sifat 
kehidupan serta peristiwa alam semesta yang teratur dan dapat diyakini.

Cuma, perkara yang perlu diwaspadai ketika menelaah buku ini ialah keperluan 
terhadap penelitian yang mendalam, kerana mungkin dalam beberapa keadaan 
terdapat kontradiksi hujah terutamanya ketika Shari'ati menjelaskan 
pemikiran Marxisme. Fenomena kontradiksi ini timbul disebabkan Shari'ati 
membahas dengan mengunakan teknik sisi positif dan sisi negatif. Sebagai 
contoh dalam sesetengah keadaan beliau melihat Marxisme dan Islam adalah dua 
idealogi yang lebih sempurna strukturnya berbanding dengan agama-agama dan 
pemikiran-pemikiran yang lain. Namun dalam waktu yang sama, Shari'ati 
menjelaskan pula bahawa sekalipun Marxisme dan Islam adalah dua idealogi 
yang sempurna strukur tetapi ia masih tidak simentri. Lebih lanjut lagi 
beliau akan membongkar ketidaksimentrian Marxisme dan Islam dengan 
memanipulasi hujah-hujah Stalin, Lenin, Marx, Hagel, Edourd Berth dan Andre 
Piettre. Ini yang boleh mengelirukan pembaca sekiranya tidak berhati-hati 
dalam menelaah.


Kesimpulan

Demikianlah perbahasan kita mengenai Shari'ati dan karyanya agungnya 
ini -Marxism and Other Western Fallacies an Islamic Critique- yang sarat 
dengan pandangan memukau serta mengajak kita berfikir secara kritis. 
Shari'ati pada keseluruhan buku ini telah memperlihatkan penguasaannya yang 
jitu dalam pelbagai ajaran agama serta pemikiran yang wujud di dunia. Beliau 
telah membahas dengan mengunakan kaedah yang unik sehingga menjadi sorotan 
zaman. Sepanjang perbahasan kita ini, beliau telah menonjolkan keyakinan 
teguh bahawa agama pada akhirnya akan kembali dalam sejarah masa depan 
manusia. Dan, sejarah masa depan menurut kacamata Shari'ati ialah keselarian 
tamadun ilmu dengan agama. Beliau melihat bahawa banyak fenomena yang 
diungkapkan oleh al-Quran kini telah terbukti hasil daripada peyelidikan dan 
usaha gigih golongan intelektual dan ulama'. Selepas 26 tahun pemergiaan 
Shari'ati ke Rahmatullah, kebenaran wawasannya mula terserlah. Islam yang 
dijajanya lebih 26 tahun yang lalu, pada
 hari ini telah mula menongkah dan mengambil peranan sebagai penyelamat 
kemanusiaan dunia serta mengurus manusia dengan sempurna.

Mengenang sahaja Shari'ati serta menelusuri Revolusi Islam Iran 1979 telah 
mengingatkan kita kepada firman Allah SWT dalam al-Quran, Qs. al-Baqarah 
[2]: 169: "Janganlah kamu mengira, bahawa mereka yang gugur di jalan Allah 
itu mati, bahkan mereka itu sebenarnya hidup, hanya sahaja kamu tidak 
menyedarinya." Shari'ati memang terasa hidup! Ia bukan sekadar terasa hidup 
dan menjiwai pahlawan-pahlawan revolusi yang memobilisasi kuasa rakyat untuk 
menyingkirkan hagemoni Shah Iran, tetapi juga hidup bersama gerakan 
"Jihad-e-Sazandegi" (baca: jihad pembangunan) untuk membangun pendesaan Iran 
selepas kejayaan Revolusi Islam Iran 1979.

Akhir sekali, apabila dihimbau kembali keseluruhan sumbangan dan peranan 
yang dijana oleh Shari'ati dalam arus pemikiran dunia lebih-lebih lagi dalam 
konteks pembangunan ummah, maka kita akan tercari-cari identiti yang terbaik 
untuk mengambarkan harakat diri Shari'ati. Sebelum ini kita diperkenalkan 
bahawa Shari'ati ialah seorang arkitek Revolusi Islam Iran 1979, namun 
hakikatnya peribadi beliau bukan sekadar terkesan dalam lingkungan Iran 
sahaja. Dunia turut merasainya bahangnya. Hendak disifatkan Shari'ati adalah 
pakar sosiologi Islam, masih bukan Shari'ati yang sempurna dan yang terkenal 
dengan idea revolusionernya. Hendak pula dilabelkan Shari'ati ialah sang 
raunsyanfikr, masih juga bukan sosok Shari'ati yang kita kenali. Namun 
setelah pelbagai identiti yang cuba kita sinonimkan dengan beliau, akhirnya 
kita akan berkesimpulan bahawa semua yang di atas itu adalah benar belaka 
meskipun tiada satupun yang mengambarkan ciri-ciri Shari'ati yang kita 
hajati. Kerana, Shari'ati adalah
 Shari'ati. Dan, tiada lagi Shari'ati selepasnya.
http://www.hayatulislam.net/comments.php?id=476_0_1_0_C



---------------------------------
  Yahoo! Messenger - Communicate instantly..."Ping" your friends today! 
Download Messenger Now

[Non-text portions of this message have been removed]







***************************************************************************
Berdikusi dg Santun & Elegan, dg Semangat Persahabatan. Menuju Indonesia yg 
Lebih Baik, in Commonality & Shared Destiny. www.ppi-india.uni.cc
***************************************************************************
__________________________________________________________________________
Mohon Perhatian:

1. Harap tdk. memposting/reply yg menyinggung SARA (kecuali sbg otokritik)
2. Pesan yg akan direply harap dihapus, kecuali yg akan dikomentari.
3. Lihat arsip sebelumnya, www.ppi-india.da.ru;
4. Satu email perhari: ppiindia-digest@xxxxxxxxxxxxxxx
5. No-email/web only: ppiindia-nomail@xxxxxxxxxxxxxxx
6. kembali menerima email: ppiindia-normal@xxxxxxxxxxxxxxx

Yahoo! Groups Links









------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Help save the life of a child.  Support St. Jude Children's Research Hospital's
'Thanks & Giving.'
http://us.click.yahoo.com/mGEjbB/5WnJAA/E2hLAA/BRUplB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

***************************************************************************
Berdikusi dg Santun & Elegan, dg Semangat Persahabatan. Menuju Indonesia yg 
Lebih Baik, in Commonality & Shared Destiny. www.ppi-india.uni.cc
***************************************************************************
__________________________________________________________________________
Mohon Perhatian:

1. Harap tdk. memposting/reply yg menyinggung SARA (kecuali sbg otokritik)
2. Pesan yg akan direply harap dihapus, kecuali yg akan dikomentari.
3. Lihat arsip sebelumnya, www.ppi-india.da.ru; 
4. Satu email perhari: ppiindia-digest@xxxxxxxxxxxxxxx
5. No-email/web only: ppiindia-nomail@xxxxxxxxxxxxxxx
6. kembali menerima email: ppiindia-normal@xxxxxxxxxxxxxxx
 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/ppiindia/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    ppiindia-unsubscribe@xxxxxxxxxxxxxxx

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



** Mailing-List Indonesia Nasional Milis PPI-India www.ppi-india.uni.cc **

Other related posts: